![]() |
PERASMIAN... Ruji (tengah) beserta tetamu jemputan khas memotong reben sebagai simbolik perasmian. |
KOTA KINABALU: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) terus memperkukuh agenda kenegaraan dan semangat perpaduan nasional menerusi pengiktirafan terhadap jasa tokoh negara.
Ketua Setiausaha KPN, Datuk Ruji Ubi berkata penganjuran Program Bicara Tokoh: Tun Datu Mustapha – Ikon Perpaduan, Legasi untuk generasi merupakan antara usaha berterusan kementerian itu melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) dalam memartabatkan sumbangan negarawan dalam membina negara bangsa.
“Tun Datu Mustapha bukan sahaja pemimpin politik yang berani, malah negarawan berwawasan yang berjaya menyatukan pelbagai etnik dan kepercayaan di Sabah pada era mencabar.
“Pendekatan inklusif beliau, yang berteraskan nilai kebersamaan dan hormat-menghormati telah meletakkan asas kukuh kepada integrasi nasional,” katanya ketika merasmikan program tersebut sempena Ulang Tahun Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sambutan Hari Etnik 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Ahad.
Tambah Ruji, kementeriannya melalui ANM turut memainkan peranan strategik dalam mendidik masyarakat mengenai tokoh negara melalui penubuhan Memorial Negarawan, yang mempamerkan koleksi berkaitan perjuangan Tun Datu Mustapha seperti dokumen rasmi, gambar bersejarah dan barangan peribadi.
“Melalui memorial ini, ANM memastikan legasi dan nilai perjuangan tokoh negara terus dihargai serta menjadi inspirasi generasi akan datang,” ujarnya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah (IKSnita) yang bekerjasama menganjurkan program berkenaan dan aktif memperkukuh perpaduan serta pemahaman sejarah negeri dan negara.
“Usaha murni ini bukan sahaja menyemarakkan semangat cintakan negara dan menghargai jasa tokoh, malah mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.
Ruji turut menyeru semua pihak agar menjadikan semangat perjuangan Tun Mustapha sebagai inspirasi dalam membina Malaysia yang lebih bersatu, aman dan sejahtera.
“Jasa dan perjuangan beliau bukan sekadar untuk dikenang, sebaliknya perlu dihayati, dikaji dan diwariskan kepada generasi baharu,” tegasnya.
Program tersebut turut menampilkan sesi perkongsian ilmu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Datuk Ts Dr Ramzah Dambul; Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Romzi Ationg; dan Presiden IKSnita Sabah Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal. Ia dipengerusikan oleh Rektor UiTM Sabah, Prof Madya Dr Rozita Mohammed.
Seramai 300 peserta hadir dalam program berkenaan yang terdiri daripada pemimpin dan ahli-ahli persatuan etnik Sabah.
Hadir sama mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Amir Kahar Tun Mustapha, Ketua Pengarah ANM Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah Mackey Apison serta Presiden Pertubuhan Perniagaan Seni Native Borneo Sabah Mohd Fazil Ajak.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)