GRS sedia bertembung BN di PRN Sabah - Hajiji


TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia untuk menghormati hasrat Barisan Nasional (BN) yang ingin bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.

Pengerusi GRS merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya juga tidak berminat untuk menjalin kerjasama dengan BN sekiranya itu pilihan parti terbabit.

Ia sebagai maklum balas berhubung kenyataan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali yang menyatakan pihaknya tidak mempunyai masalah untuk memenuhi hasrat Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkenaan perkara itu.

"Saya sokong pendapat dia (Armizan) tetapi apa pun kita belum buat keputusan muktamad. Ini bukan daripada saya, daripada parti BN yang menyatakan mereka tidak berminat. Kita jangan paksa orang kalau tidak berminat.

"GRS bersedia untuk menghadapi sesiapa saja dalam pilihan raya akan datang ini .. jadi itu pendirian kita. Tetapi apa pun bentuk kerjasama mesti diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman bertempat di Dewan Seri Sulaman Tuaran, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ketua Menteri Sabah itu turut memberitahu pihaknya belum menetapkan sebarang tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Ini berikutan spekulasi mengenai perkara terbabit dimana pembubaran DUN Sabah dijangka akan diumumkan pada hujung Julai atau awal Ogos depan.

"Belum lagi, kita mesyuarat dulu perhimpunan agung (Perhimpunan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah) pada hujung bulan Julai," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama