Sabah perkasa budaya etnik pelbagai kaum

CENDERAMATA...Joachim menyampaikan cenderamata kepada Tun Musa (empat dari kanan).
KOTA KINABALU: Usaha menyeluruh menerusi pelbagai inisiatif terus diambil bagi memelihara dan memperkasa warisan budaya rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata usaha tersebut penting bagi memastikan khazanah budaya terus hidup, dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Dalam dunia yang sentiasa berubah, adalah penting untuk kita memastikan budaya tempatan agar kekal relevan dan difahami oleh generasi masa kini dan akan datang.

"Generasi muda bukan hanya pewaris, tetapi penjaga warisan yang akan mencorakkan masa depan negeri ini.

“Pemeliharaan warisan budaya penting untuk memastikan kesinambungan identiti, nilai dan tradisi sesebuah masyarakat.

"Oleh itu, saya berharap Persatuan etnik di negeri ini akan terus membangunkan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing agar tidak pupus begitu sahaja.

“Dalam masa sama, budaya etnik ini juga akan membantu menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini. Sudah pasti ini akan membantu usaha kerajaan yang menyasarkan 3.5 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya dalam Majlis Hari Etnik Sabah sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di sini, pada Ahad.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Majlis perasmian majlis itu disempurnakan oleh Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

Menurut Hajiji, hari etnik bukan saja platform untuk memperkenalkan khazanah warisan etnik yang ada di negeri ini tetapi ia juga medan penting dalam memperkukuhkan perpaduan, persefahaman dan toleransi antara kaum serta memupuk rasa bangga terhadap warisan masing-masing.

“Semangat muhibah dalam kepelbagaian adalah tunjang utama kekuatan rakyat di negeri ini.

"Oleh itu, saya mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus menyuburkan nilai toleransi, saling menghormati dan hidup bersama secara harmoni, tidak kira latar belakang etnik atau agama.

“Inilah roh sebenar Hari Etnik Sabah. Semoga sambutan ini menjadi lambang kesatuan dalam kepelbagaian dan seterusnya memperkukuh semangat kekitaan di bumi Sabah yang tercinta ini,” ujar beliau.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama