KPDN teliti akta E-Dagang, lindungi pengguna tanpa sekat potensi

Armizan (tengah) sewaktu sidang media selepas merasmikan Program Pendigitalan Perniagaan 2025 peringkat Negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan sedang meneliti kerangka perundangan baharu bagi mengawal selia sektor e-dagang yang semakin pesat berkembang, sejajar dengan peningkatan jumlah aduan pengguna setiap tahun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian tersebut dijangka dimuktamadkan menjelang penghujung tahun ini sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

“Kita akan membuat keputusan sama ada memperkenalkan kerangka perundangan baharu atau meminda akta sedia ada. Antara isu utama adalah berkaitan aspek penggunaan serta aduan-aduan yang signifikan melibatkan pembelian dan penjualan dalam platform e-dagang.

“Setakat ini, kita belum mempunyai kawal selia secara langsung melalui undang-undang ke atas pengendali platform atau penjual,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Pendigitalan Perniagaan 2025 peringkat Negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Jelasnya lagi, usaha itu bukan sekadar untuk menyediakan mekanisme kawal selia, sebaliknya bertujuan membina ekosistem e-dagang yang lebih mampan dan berdaya saing.

“Matlamat kita bukan untuk menyekat sektor ini, tetapi memastikan ia berkembang dalam kerangka perundangan yang kondusif dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya.

Tambahnya, kementerian juga sedang meneliti pendekatan terbaik sama ada melalui sistem perlesenan atau pematuhan piawaian tertentu bagi pengendali platform.

“Kita juga beri perhatian terhadap platform asing yang tidak berdaftar dalam negara. Kajian dan libat urus bersama pemain industri sedang dilaksanakan, termasuk sesi town hall pada 17 Julai ini,” katanya.

Program Pendigitalan Perniagaan 2025 merupakan inisiatif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah KPDN bagi membantu komuniti usahawan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memanfaatkan teknologi digital dalam operasi perniagaan mereka.

Tiga negeri dipilih sebagai lokasi penganjuran iaitu Sabah, Pulau Pinang dan Terengganu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama