![]() |
Shahelmey dalam satu sidang media yang diadakan bertempat di Bangunan JKR. |
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata kerjasama terbabit dilaksanakan dari aspek teknikal serta komunikasi, termasuk memastikan jumlah air tangki R13 yang disalurkan ke kampus terbabit mencukupi dan konsisten.
"Saya juga ingin memaklumkan bahawa indikator sedia ada di tangki R13 telah pun diganti dan pemasangan indikator digital yang telah ditempah (menunggu penghantaran) juga akan dipasang di tangki tersebut.
"Selain itu, UMS perlu memastikan agihan air dalam kawasan UMS dalam keadaan yang teratur dan baik. JANS turut bersedia untuk memberi kerjasama dan juga panduan dalam pengendalian agihan air dalaman UMS sekiranya diperlukan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata JANS kini sedang melaksanakan pemasangan paip Telibong II Fasa II yang dijangka siap menjelang sekitar penghujung bulan Jun sehingga awal Julai ini untuk kawasan Sepanggar.
"Diharapkan, apabila kerja-kerja pemasangan paip tersebut siap, agihan air ke kawasan Sepanggar akan menjadi lebih baik dan masalah bekalan air akan dapat diminimakan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan bertempat di Bangunan JKR, di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Cancelor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor dan Pengarah JANS, Chee Chun Chieh.
Dalam pada itu, Shahelmey turut berkata pihaknya menerima maklumat status bekalan air pada pertengahan Mei sehingga kini di kawasan Sepanggar termasuk UMS adalah stabil.
Menurutnya, pada masa juga terdapat beberapa punca telah dikenal pasti oleh pihaknya sehingga menyebabkan masalah bekalan air melanda di kawasan tersebut.
"Ada beberapa punca tapi antaranya ialah sewaktu kita buat lawatan tapak. Mungkin adanya salah faham antara JANS dan juga UMS berkenaan dengan indikator. Perkara ini kita sedang tangani dan kita harap tidak ada lagi salah faham yang berlaku.
"Selain daripada itu, cabaran kita sebenarnya berpunca daripada luar seperti sambungan haram air yang begitu berleluasa sekali di Sepanggar.
"Ia menjadi cabaran kepada pihak JANS untuk sentiasa memastikan bahawa penguatkuasaan dijalankan secara berterusan," katanya.
Shahelmey dalam sidang media itu turut ditanya pemberita mengenai pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa peruntukan tambahan sedia disalurkan kerajaan Persekutuan bagi mengatasi isu bekalan air di UMS, baru-baru ini.
Katanya, kerajaan negeri akan meneliti perkara tersebut dari aspek teknikal terlebih dahulu.
"Sekiranya ada keperluan, kita akan mengutarakan permohonan yang berkaitan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan JANS menerusi kenyataannya memaklumkan bekalan air ke UMS adalah mencukupi dan tidak pernah berada di paras yang boleh menjejaskan operasi pengepaman oleh pihak universiti.
Berdasarkan kenyataan itu, dijelaskan air di tangki R13 yang menjadi sumber utama bekalan air ke UMS berada pada paras normal dan melebihi keperluan harian universiti itu, yang dianggarkan hanya sekitar 5 juta liter sehari (MLD).
Walau bagaimanapun, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, menyangkal penjelasan JANS itu dan menyatakan berdasarkan pemantauan berkala oleh pasukan teknikal pihaknya mendapati paras air di tangki R13 tidak sentiasa berada pada tahap optimum.