IBR ASEAN Awards iktiraf Sabah negeri cemerlang Malaysia

Hajiji(dua dari kanan) pada  Majlis The IBR ASEAN Awards 2025 anjuran International Business Review (IBR). 

PETALING JAYA: Sabah mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Negeri Paling Cemerlang Malaysia 2024 menerusi The IBR ASEAN Awards 2025 anjuran International Business Review (IBR). 

Penganugerahan itu turut menyaksikan Negeri Sembilan diiktiraf sebagai Negeri Paling Progresif Malaysia bagi tahun sama. 

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, James Ligunjang, berkata buat julung kali, anugerah berprestij itu turut memberi pengiktirafan kepada kerajaan negeri atas kepimpinan cemerlang dan pencapaian menyeluruh yang dicapai sepanjang tahun lalu. 

Katanya, di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Sabah menerima penghormatan tertinggi hasil pelaksanaan rangka kerja pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi teras halatuju pembangunan negeri.  

“Rangka kerja SMJ memberi penekanan kepada empat tonggak utama iaitu memperjuangkan hak Sabah, kepimpinan berintegriti dan cekap, pembangunan mampan sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, serta memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

James berkata, antara pencapaian utama yang menyumbang kepada pengiktirafan itu ialah peningkatan geran khas persekutuan daripada RM26 juta pada 2022 kepada RM600 juta pada tahun ini, selain pertambahan ketibaan pelancong asing sebanyak 47 peratus, yang memberi kesan positif kepada hasil pendapatan negeri.

Beliau berkata, kejayaan lain termasuk pemilikan kepentingan besar dalam hasil minyak dan gas melalui perjanjian kerjasama komersial dengan PETRONAS yang menjana lebih RM3 bilion kepada negeri pada 2023.

“Sabah turut mencatat lonjakan pelaburan asing dengan peningkatan daripada RM132 juta pada 2023 kepada lebih RM1 bilion tahun lalu. 

"Perkembangan ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri,” katanya.

James berkata, antara kejayaan lain ialah kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan bandar utama dan kawasan luar bandar, sekali gus memberi impak positif terhadap jaringan infrastruktur negeri.

Sementara itu, Ketua Hakim Anugerah, Tan Sri Azman Ujang, berkata Sabah menunjukkan kemajuan membanggakan dalam aspek pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Beliau memuji peningkatan pelaburan asing yang melonjak kepada RM1.07 bilion pada 2024 serta kadar penghunian Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) tertinggi dalam sejarah, iaitu 90 peratus, dengan kehadiran 288 pelabur aktif. 

"Sabah turut mencatat pertumbuhan tertinggi sektor pembuatan di Malaysia dengan kadar 4.4 peratus pada 2023, mengatasi negeri lain," katanya 

Azman turut menegaskan komitmen kerajaan negeri terhadap kelestarian alam sekitar dan pembangunan modal insan, apabila 62 peratus daripada keluasan tanah Sabah  bersamaan 4.6 juta hektar dan diisytiharkan bebas daripada aktiviti pembalakan.

Terdahulu, majlis penyampaian anugerah rasmi dijadualkan berlangsung pada 19 Julai ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, dengan Hajiji dijangka hadir sebagai tetamu kehormat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama