TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menggunakan atau berniat untuk menggunakan dana kerajaan bagi tujuan kempen Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan datang.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata segala gerak kerja kempen PRN17 akan digerakkan sepenuhnya oleh jentera parti tanpa bergantung kepada sebarang dana kerajaan.
Beliau menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya GRS menyalahgunakan dana kerajaan sebagai tidak berasas dan merupakan tohmahan pihak lawan untuk mencemarkan imej parti gabungan itu.
“GRS, termasuk semua parti komponen di dalamnya, tidak pernah menggunakan dana kerajaan untuk berkempen.
“Segala usaha yang dijalankan adalah hasil komitmen jentera parti serta sokongan akar umbi dan rakyat,” katanya.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Bahagian Gagasan Rakyat Sebatik, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh proses pemilihan calon Gagasan Rakyat bagi zon 12 merangkumi kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan yang kini sedang diteliti dan disaring oleh pucuk pimpinan parti.
Katanya, pihaknya yakin dengan keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti, khususnya Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Apabila senarai calon dimuktamadkan nanti, semua pihak perlu memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih demi perjuangan parti. Keutamaan bukan terletak pada individu, tetapi kepada kekuatan dan matlamat perjuangan parti dalam membawa kemajuan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau juga yakin rakyat Sabah akan terus menaruh kepercayaan kepada kerajaan negeri yang ada berdasarkan rekod prestasi dan kesungguhan dalam mentadbir serta membela nasib rakyat.
Sementara itu, Nizam turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Gagasan Rakyat Sebatik atas kejayaan menganjurkan persidangan tahunan bahagian itu dengan lancar.
“Saya dimaklumkan sebanyak 161 cawangan berjaya mengadakan mesyuarat masing-masing dan menghantar perwakilan ke persidangan kali ini. Ini satu pencapaian yang membanggakan,” katanya.