SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas berusia 89 tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan dalam kejadian di Batu 3, Jalan Utara, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa dipercayai sedang melintas dari kanan ke kiri jalan sebelum dirempuh sebuah Perodua Axia yang datang dari arah Bandar Prima menuju ke pusat bandar.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy Kuppan berkata, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan berkenaan tidak sempat mengelak mangsa kerana jarak yang terlalu dekat ketika tiba di lokasi kejadian.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan segera dibawa ke Hospital Sandakan bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Zon Merah hospital berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melintas jalan, terutama di kawasan sibuk yang tidak mempunyai lintasan pejalan kaki.
“Pemandu juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, khususnya ketika memandu di kawasan perumahan dan jalan yang kerap digunakan oleh pejalan kaki,” katanya.