Dulu digelar ‘Miss Popular’, kini Ratu Unduk Ngadau 2025


PENAMPANG: Pernah meraih gelaran ‘Miss Popular Facebook’ lapan tahun lalu, seorang bakal guru Bahasa Melayu kini melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai Ratu Unduk Ngadau sempena Sambutan Pesta Kaamatan 2025.

Kemenangan itu menyaksikan Atitih Yatih Robert, 26, membawa pulang gelaran berprestij dengan hadiah kemenangan wang tunai bernilai RM15,000, sebuah trofi dan jambangan bunga pada pertandingan berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, semalam.

Atitih berkata kemenangan itu bukan sekadar untuk dirinya sendiri, tetapi juga untuk semua yang pernah menyokong dan memberi semangat kepadanya sejak kali pertama bertanding lapan tahun lalu pada tahun 2017. 

“Kemenangan ini bukan untuk saya seorang saja, tapi untuk orang-orang yang menyokong saya.

“Jadi kemenangan ini saya bawa dari apa yang saya pegang waktu lapan tahun lepas. Sebab itu saya rasa sangat mendalam. 

“Sepanjang lapan tahun itu, banyak yang saya usahakan untuk menjadi siapa saya yang sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita.

Berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi bagi menggengam gelaran juara Unduk Ngadau tahun ini, Atitih yang mewakili Tamparuli itu berkata beliau berjaya menurunkan lebih 10 kilogram sebagai persiapannya sebelum pertandingan berlangsung.

Ketika ditemui pemberita Atitih menjelaskan beliau merupakan peserta pertama dalam sejarah Unduk Ngadau yang memperagakan busana etnik tradisional kaum Tenggilan yang dinamakan Pinialap. 

Atitih yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dari Universiti Putra Malaysia (UPM), kini sedang menunggu penempatan selepas lulus temu duga perguruan baru-baru ini.

Penobatan Atitih sebagai Ratu Unduk Ngadau disempurnakan oleh isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin.

Sementara itu, tempat kedua pula dimenangi wakil dari Tambunan Elka Alika Pijeh menerima hadiah wang tunai bernilai RM12,000.

Manakala tempat ketiga diraih wakil Kiulu, Celerin Binti Jenny yang menerima hadiah wang tunai bernilai RM10,000.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama