TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini berada dalam kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata pihaknya sudah menubuhkan jentera pilihan raya di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengadakan beberapa siri kursus sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya berkenaan.
"GRS sudah bersedia. Kita sudah menubuhkan jentera pilihan raya dan telah mengadakan beberapa siri kursus di peringkat kawasan serta DUN bagi memastikan persiapan rapi.
"Bagaimanapun, soal pembahagian kerusi antara parti dalam GRS masih belum dimuktamadkan dan belum dibincangkan secara terperinci," katanya
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian selepas menghadiri Program Ibadah Korban peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Hajiji bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai yang juga ADUN Kiulu; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau serta ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya menyerahkan lembu korban secara simbolik kepada Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin.
Mengulas mengenai sambutan Aidiladha, Hajiji berharap perayaan itu menjadi wadah untuk meningkatkan semangat perpaduan dan pengorbanan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam di Sabah.
"Hari Raya Aidiladha bukan hanya berkaitan ibadah korban haiwan ternakan semata-mata, sebaliknya ia menuntut kita untuk sentiasa bersedia berkorban demi kepentingan bersama serta keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.
"Nilai pengorbanan, tolak ansur dan kerjasama amat penting dalam memastikan kestabilan dan masa depan rakyat terus terpelihara," katanya.
Terdahulu, Hajiji menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Haji Noor, Kampung Serusop bersama kira-kira 1,000 jemaah.