Lelaki kaki tipu minyak tumpas di belakang dobi


TAWAU: Tindakan licik seorang lelaki yang didakwa ‘kaki tipu’ minyak akhirnya memakan diri apabila diberkas polis ketika berada dalam sebuah kereta mencurigakan di belakang premis dobi di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu terbongkar selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerima maklumat awam mengenai kehadiran kenderaan mencurigakan di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) digerakkan ke lokasi sebelum mengesan sebuah kereta dengan seorang lelaki di dalamnya.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tempatan berusia 38 tahun itu berada seorang diri dalam kenderaan berkenaan.

“Semakan lanjut mendedahkan kereta terbabit disenaraikan dalam satu laporan polis berkaitan kes penipuan yang masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, suspek ditahan di lokasi manakala kenderaan digunakan turut dirampas bagi membantu siasatan.

Siasatan mendapati, lelaki terbabit dipercayai aktif melakukan helah mengisi minyak tanpa membayar di beberapa stesen minyak sekitar bandar ini.

“Tindakan suspek jelas menyalahi undang-undang dan menyebabkan kerugian kepada pengusaha stesen minyak selain menimbulkan kemarahan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

“Polis merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan menyeru masyarakat agar terus bekerjasama dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama