![]() |
Nizam ketika ditemui media. |
TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan komitmen penuh untuk terus memperkukuh kerjasama dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Pakatan Harapan (GRS-PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata walaupun wujud senario politik yang dilihat agak luar biasa, namun pendirian parti ini kekal konsisten selaras dengan hala tuju Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Pada saya, Datuk Seri Hajiji sangat jelas sejak dari awal hingga kini. Dalam setiap ucapan, beliau sentiasa menegaskan pentingnya pengukuhan kerajaan GRS-PH Sabah.
“Kerjasama ini terbukti membawa banyak pencapaian dalam pembangunan dan pembelaan terhadap rakyat Sabah,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Penyelaras Zon 12 berkata demikian ketika ditemui dalam majlis perasmian Mini Dewan Kampung Kinabutan Bukit, di sini, hari ini.
Katanya, walaupun belum ada pengumuman rasmi, hasrat untuk mengekalkan kerjasama GRS-PH telah disampaikan secara tidak langsung kepada pimpinan Pakatan Harapan Sabah termasuk Perdana Menteri.
“Keutamaan kita jelas, iaitu memastikan kerajaan yang bakal dibentuk selepas PRN nanti masih dalam lingkungan GRS-PH.
“Namun, kita juga terbuka sekiranya pihak lain dalam Kerajaan Perpaduan ingin bersama dalam menghadapi PRN Sabah akan datang,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan di peringkat Zon 12, beliau memaklumkan bahawa Gagasan Rakyat telah mencalonkan calon-calon bagi semua tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan.
“Tiga kerusi sedia ada iaitu DUN Apas, Balung dan Sebatik kita yakin dapat dipertahankan. Kita sudah serahkan senarai calon dari Gagasan Rakyat kepada pucuk pimpinan untuk pertimbangan.
“Namun, keputusan muktamad berhubung pengagihan kerusi dan calon yang bakal diketengahkan akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti serta Majlis Tertinggi GRS,” katanya.
Menjawab persoalan sama ada akan berlaku pertembungan antara parti dalam komponen GRS, beliau menegaskan bahawa Gagasan Rakyat kekal solid dalam GRS dan sebarang percanggahan calon adalah tidak berbangkit.
Ditanya mengenai kemungkinan berlaku pertembungan dengan Pakatan Harapan mahupun UMNO dalam Barisan Nasional, beliau menjelaskan bahawa setakat ini kerajaan negeri Sabah adalah kerajaan GRS-PH.
“Jadi soal UMNO, itu terpulang kepada mereka sama ada mahu bertanding menentang kita atau tidak. Keutamaan kita adalah GRS-PH, itu yang kita perjuangkan,” tegasnya.