Enam PATI Pakistan dihantar pulang ke negara asal

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang enam warganegara Pakistan ke negara asal menerusi program pemindahan tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), semalam.

Semua tahanan berusia antara 23 hingga 35 tahun berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, kerana masuk tanpa pas atau permit sah dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata kesemua tahanan berkenaan telah menjalani hukuman penjara dan dipulangkan selepas melengkapkan dokumen perjalanan.

“Sehingga kini, seramai 82 warganegara Pakistan telah dipindahkan ke negara asal menerusi pintu masuk udara Sabah sejak program ini dilaksanakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini seramai 6,290 tahanan warga asing telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing, dengan warganegara Filipina mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 4,970 orang, diikuti Indonesia (1,173 orang), China (42 orang), Vietnam (10 orang), India (7 orang) dan lain-lain negara (6 orang).

SH Sitti Saleha berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kemudahan imigresen termasuk pemegang pas, majikan dan pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah.

“Tindakan tegas termasuk pendakwaan akan diambil ke atas majikan dan individu yang melanggar syarat pas atau permit seperti diperuntukkan di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen JIM Sabah dalam memastikan aspek keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama