![]() |
Supertelemovie 'Aku, Ayah dan Muzik' bakal ditayangkan di RTM pada lima Julai nanti. | Ihsan Arcadia Gate Pictures. |
KOTA KINABALU: Proses berduka selepas kematian orang yang disayangi. Itulah situasi utama yang digarap pengarah muda tempatan, Haniff Jeff menerusi supertele arahannya, 'Aku, Ayah dan Muzik'.
Supertele yang diinspirasikan berdasarkan kisah benar keluarganya itu merupakan karya lanjutan daripada filem pendek yang pernah meraih pengiktirafan sebagai finalis ‘BMW Shorties'.
Supertele ini juga merupakan antara karya yang menerima geran Dana Kandungan Digital (DKD) dari perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bernilai RM100,000.
Mengulas lanjut, katanya ia bermula apabila beliau menggali kisah bapanya dalam usaha mengenali ibunya yang sebenar selepas menemui gambar lama ibunya semasa muda.
“Elemen utama yang ingin saya sampaikan adalah proses ‘grief’ selepas kematian orang yang kita sayang. Walaupun sudah bertahun tahun berlalu tetapi perasaan kehilangan itu masih ada,” katanya ketika ditemui pemberita, pada Sabtu lalu.
Pengarah muda berusia 29 tahun itu menjelaskan bahawa perjalanan menghasilkan supertele tersebut tidak mudah namun pihak produksi menghasilkan karya tersebut dengan penuh tanggunggjawab.
“Bajet yang kami terima hanyalah untuk sebuah telemovie sahaja. Kami di Arcadia Gate Pictures menghasilkan karya ini tanpa sebarang keuntungan atau gaji, semata-mata atas dasar cinta kepada seni dan tanggungjawab dalam berkarya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap supertele arahannya itu memberi kesan mendalam kepada penonton terutama dalam memahami makna kehilangan dan kasih sayang.
Sementara itu, Haniff memaklumkan bahawa Supertelemovie ini bakal ditayangkan di RTM pada lima Julai nanti.
Manakala tayangan perdana ‘Aku, Ayah & Muzik’ berlangsung di GSC 1 Borneo pada Sabtu lalu.
Turut hadir menyaksikan tayangan tersebut adalah Setiausaha Tetap, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), Viviantie Sarjuni.