8 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Petagas

Foto ihsan Bomba

KOTA KINABALU: Lapan buah rumah musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran besar yang berlaku di Kampung Petagas, Putatan, petang tadi.

Kebakaran yang marak pantas itu bagaimanapun berjaya dikawal dalam tempoh kurang satu jam hasil tindakan segera pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Pegawai Kanan JBPM Sabah, PgKB II Mohd Alfian Salioh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.08 petang dan tiba di lokasi dua minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, kita dapati kebakaran melibatkan tiga hingga empat buah rumah pada awalnya sebelum merebak. Operasi berjaya dikawal dalam tempoh 50 minit dengan kekuatan 29 anggota daripada empat balai serta lima jentera termasuk tiga pemadaman dan dua tanker,” katanya.

Tambah beliau, kebakaran tersebut mengakibatkan kemusnahan sepenuhnya ke atas lapan buah rumah jenis separuh kekal yang setiap satunya berkeluasan kira-kira 40 x 40 kaki.

“Seorang anggota turut cedera ringan akibat terkena renjatan elektrik, namun keadaannya dilaporkan stabil dan tidak membimbangkan,” katanya lagi.

Operasi kini memasuki fasa overhaul bagi memastikan tiada sisa bara atau punca api tertinggal yang boleh mencetuskan kebakaran semula.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama