Bandaraya Kota Kinabalu disasar menjadi kota sastera

 

Arifin ketika ditemui media.

KOTA KINABALU:  Bandaraya Kota Kinabalu disasarkan menjadi kota sastera sekali gus menjadikan Sabah sebagai dataran kesenian.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata langkah tersebut direalisasikan dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pelbagai pihak seterusnya negeri ini sebagai salah satu rujukan serantau dalam bidang sastra dan bahasa.

"Saya juga yakin dengan program demi program yang dilaksanakan di Sabah ini, Sabah akan menjadi salah satu rujukan untuk serantau dalam bidang sastra dan bahasa.

"Banyak program besar dilaksanakan di Sabah, termasuk di kawasan saya di Membakut yang melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah. Ini satu usaha yang sangat baik untuk mendekatkan masyarakat, khususnya pelajar, dengan nilai-nilai bahasa dan sastera.

"Mudah-mudahan dengan bantuan DBP, Badan Bahasa, Institut Penilaian Sabah (IPS), serta NGO berkaitan sastera dan bahasa, impian ini dapat direalisasikan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Wacana Puisi Esei 2025 di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, pelaksanaan program seumpama itu diyakini mampu menjadikan Sabah sebagai rujukan serantau dalam bidang sastera dan bahasa.

“Saya yakin kerana kita mempunyai asas kukuh iaitu DBP sebagai tunjang, serta sokongan badan-badan lain termasuk penyair tempatan yang berpotensi untuk mengharumkan nama Sabah dalam arena sastera,” ujarnya.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga selaras dengan usaha menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan ilmu, pelancongan bahasa dan pelancongan sastera.

“Saya yakin dengan kehadiran rakan-rakan dari Brunei, Singapura, Indonesia dan dari pelbagai negeri di Malaysia, Sabah boleh menjadi tumpuan. 

"Saya berharap perkara yang sama berlaku dalam bidang sastera dan bahasa melalui usaha berterusan kita ini,” jelas beliau.

Dalam majlis itu, Arifin turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Sayembara Menulis Puisi Esei 2025 dan Anugerah Kemanusiaan Puisi Esei 2025.

Hadir sama, Presiden BAHASA merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Jasni Matlani, Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami  Jahari dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat DBKK, Benedict Oliver Lidadun.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama