32 PATI ditahan dalam Ops Sapu di Tawau

TAWAU: Seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi Ops Sapu yang dijalankan di sekitar daerah Tawau, baru-baru ini. 

Operasi yang digerakkan bersama 43 anggota penguat kuasa dari JIM Tawau, Kota Kinabalu, Sandakan dan Lahad Datu itu turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha.

Dalam kenyataan laman facebook rasmi JIM Sabah hari ini berkata, seramai 90 individu warga asing diperiksa dalam operasi itu. 

Katanya, daripada jumlah itu seramai 32 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dewasa warganegara Pakistan, 20 lelaki dan tujuh wanita warga Filipina. Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada yang ditahan, iaitu lelaki warga Pakistan, disyaki melakukan kesalahan lebih serius iaitu menggunakan atau memiliki dokumen perjalanan palsu mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi seumpama ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI. 

"Kita juga menggesa orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan PATI di kawasan masing-masing

"Operasi seumpama ini adalah antara langkah tegas kerajaan dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara daripada ancaman dan kesan negatif kehadiran PATI," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama