Program ‘War On Sugar’ tingkatkan kesedaran bahaya gula berlebihan

Chan Foong Hin ketika ditemui media  di ruang legar Tempat Letak Kereta Foh Sang, di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bersama Pusat Khidmat Parlimen Kota Kinabalu, dan Pusat Khidmat ADUN Luyang komited dalam memerangi pengambilan gula menerusi satu program yang dikenali sebagai 'War on Sugar.'

Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, program tersebut dilaksanakan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya pengambilan gula berlebihan. 

Katanya, pengambilan gula yang berlebihan menjadi punca utama kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi.

“Jika boleh, satu sudu sehari sudah memadai, tetapi yang lebih baik adalah mengurangkannya. Malah, yang paling ideal adalah tidak mengambil gula sama sekali. 

“Ini penting kerana pengambilan gula berlebihan bukan sahaja memberi kesan buruk kepada kesihatan individu tetapi juga membebankan sistem kesihatan negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program War On Sugar di Tempat Letak Kereta Foh Sang, di sini hari ini. 

Hadir sama, Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri  Sabin Bin Samitah JP serta Ketua Cawangan Pemakanan Negeri Sabah, Shahrulnaz Norhazli Nazli. 

Sementara itu, Chan turut menyatakan keprihatinannya tentang kandungan gula dalam minuman popular seperti Bubble Tea yang menjadi kegemaran masyarakat pada masa kini. 

"Saya baru menyedari bahawa satu gelas Bubble Tea mengandungi kira-kira 20 sudu gula. Bayangkan impaknya kepada kesihatan jika kita mengambilnya secara kerap,” jelasnya. 

Dalam pada itu, beliau percaya bahawa program ini mampu memberi impak besar kepada masyarakat setempat. 

“Setakat pagi ini sahaja, lebih 200 orang telah mendaftar. Saya yakin jumlah peserta akan meningkat sehingga 500 orang menjelang petang,” tambahnya. 

Program tersebut turut melibatkan pelbagai aktiviti, termasuk sesi ceramah kesedaran, saringan kesihatan, suntikan influenza untuk warga emas, kaunter aduan awam, serta kempen derma darah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama