Azizah beri bayangan Mizma jadi calon GRS DUN silam


LAHAD DATU: Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Azizah Dun memberi bayangan pihaknya akan meletakkan Datuk Mizma Appehdullah bagi kerusi DUN Silam menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Azizah berkata Mizma yang merupakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Silam itu disifatkan sebagai pemimpin wanita berwibawa dan mendapat sokongan padu pelbagai lapisan masyarakat

"Kita memerlukan lebih ramai pemimpin wanita muda untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.

"Saya melihat Datuk Mizma sebagai pemimpin wanita yang rajin bekerja, mempunyai kredibiliti dan disenangi semua pihak, bukan sahaja kaum wanita, tetapi juga masyarakat keseluruhan di DUN Silam," katanya.

Azizah berkata demikian ketika ditemui media selepas Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian N62 Silam yang berlangsung di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu, semalam.

Jelas beliau, Mizma merupakan calon yang wajar dipertimbangkan untuk mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya akan datang bagi DUN Silam.

"Beliau merupakan calon yang tepat untuk diangkat bertanding menjadi calon mewakili GRS di DUN Silam ini," katanya lagi.


Sementara itu, ketua Bahagian PGRS Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, kekuatan sebenar parti terletak pada kesatuan ahlinya, bukan kepada sentimen perkauman yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

“Kita tolak politik ‘bangsa’. Kita tidak mahu ada sentimen saya Bajau maka Bajau mesti sokong saya, dia Idahan mesti sokong Idahan, atau dia Jawa, maka orang Jawa sahaja yang sokong dia.

"Tanpa perpaduan, kita tidak akan menang,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, kekuatan PGRS Bahagian Silam terbukti dengan tertubuhnya 18 cawangan baharu bersama 1,145 ahli baharu, menjadikan jumlah keseluruhan ahli kini mencecah 9,000 orang.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama