Ugut sebar gambar peribadi, lelaki dicekup

Anggota polis IPD Tawau berjaya menahan seorang lelaki disyaki memeras ugut seorang wanita di Tawau, semalam.


TAWAU: Ugutan untuk sebar gambar peribadi akhirnya memakan diri apabila seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki memeras ugut seorang lelaki bagi mendapatkan wang tunai.

Suspek berusia 31 tahun itu dicekup sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 10.30 pagi semalam, hasil maklumat daripada IPD Gombak.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan itu dibuat selepas polis menerima maklumat susulan laporan kes pemerasan yang dibuat mangsa di Gombak tahun lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam kes ugutan terhadap lelaki berusia 29 tahun melalui aplikasi Telegram, dengan mengancam akan menyebarkan gambar peribadi milik mangsa jika tidak menyerahkan wang RM500.

“Takut dengan ugutan itu, mangsa membuat dua transaksi ke akaun suspek membabitkan jumlah keseluruhan RM1,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Namun katanya, pada hari sama, suspek sekali lagi meminta wang tambahan RM2,000 namun mangsa enggan menuruti permintaan itu sebelum tampil membuat laporan polis.

Katanya, semakan turut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk satu kes di Ranau mengikut Seksyen 22A Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah (OKKNS) yang dikenakan kompaun, serta satu lagi kes mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan di Gombak.

“Suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut dan pegawai penyiasat kes asal sudah dimaklumkan mengenai tangkapan ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika berkongsi maklumat atau gambar peribadi di media sosial bagi mengelak menjadi mangsa penjenayah.

“Sekiranya menerima sebarang ugutan atau ancaman, segera laporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama