Wanita tempatan dakwa dirogol warga asing di semak


LAHAD DATU: Seorang wanita tempatan melalui detik hitam apabila mendakwa dirogol rakan sekerjanya yang juga warga asing dalam kejadian menggemparkan di kawasan kebun berhampiran Lok Bangak, Bagahak, di sini, Sabtu lalu.

Kejadian berlaku apabila mangsa berusia 35 tahun dikatakan diperlakukan tanpa belas kasihan oleh lelaki berusia 25 tahun itu di sebuah kawasan semak dan rumah kebun.

Difahamkan, kedua-duanya bekerja di lokasi yang sama sebelum kejadian malang itu berlaku. Tidak tahan menanggung trauma, mangsa segera tampil membuat laporan di Balai Polis Lahad Datu sejurus kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, susulan laporan yang dibuat mangsa, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu segera melancarkan gerakan memburu suspek.

“Hasil risikan dan maklumat, suspek berjaya diberkas kira-kira jam 10 malam, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, serta sebatan,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis juga akan memohon perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Lahad Datu hari ini bagi membantu siasatan lanjut.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama