![]() |
Suspek ketika diberkas polis. |
TAWAU: Teguran seorang isteri terhadap suaminya yang keluar berhibur berakhir dengan tragedi apabila wanita itu dibelasah teruk dalam kejadian di sebuah hotel, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.39 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun dipercayai mengalami kecederaan di kepala dan badan selepas berlaku pertengkaran panas dengan suaminya yang berusia 32 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa menegur tindakan suaminya yang keluar berhibur di pusat hiburan di daerah ini.
“Akibat tidak puas hati ditegur, suspek bertindak ganas memukul isterinya hingga cedera.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis dan siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Jasmin, lelaki berkenaan berjaya diberkas polis ketika berada di perkarangan Lapangan Terbang Tawau sekitar jam 10.15 pagi, beberapa jam selepas kejadian.
“Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.