Mangsa baham buaya ditemui meninggal dunia


KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dipercayai dibaham buaya ketika menangkap ikan di Sungai Ladang Linddale, di sini, awal pagi tadi, ditemui meninggal dunia petang ini.

Mangsa yang dikenali Jufri Untung berusia 30 tahun ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang, pada jam 1.40 petang tadi. 

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Utoh, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.08 pagi.

Beliau berkata, lima anggota bersama pegawai digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 50 kilometer dari BBP Kinabatangan dan tiba pada jam 7.22 pagi.

“Sebaik tiba, pasukan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian permukaan di sepanjang tebing sungai.

“Mayat mangsa berjaya ditemui sekitar jam 1.40 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakannya menjalankan aktiviti menangkap ikan sebelum diserang buaya secara tiba-tiba.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama