KOTA KINABALU: Transformasi sistem pendidikan negeri adalah satu keperluan mendesak dan bukan lagi satu pilihan dalam memastikan pelajar Sabah bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, dapatan kajian pada tahun 2024 menunjukkan hanya 65 peratus pelajar mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah pada tahap baik atau sangat baik, manakala hanya 72 peratus yakin mengaplikasikan pengetahuan sains dalam kehidupan seharian.
“Keadaan ini menunjukkan kita tidak boleh berpuas hati kerana ramai pelajar masih bergelut memahami konsep asas STEM. Maka, transformasi pendidikan mesti menjadi agenda utama semua pihak.
“Pendekatan pengajaran berasaskan penyelidikan dan inovasi perlu diperkasa serta diarusperdanakan agar sistem pendidikan Sabah kekal relevan, inklusif dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Penyelidikan Pendidikan Antarabangsa Astounding Research Innovation STEM Exploration (ARISE) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji turut menyeru semua pendidik, institusi pendidikan, penyelidik serta penggubal dasar agar terus meneroka dan menambah baik pendekatan pendidikan yang sesuai dengan era digital dan keperluan industri masa kini.
Menurutnya, Persidangan ARISE 2025 yang menghimpunkan lebih 600 peserta dari dalam dan luar negara termasuk United Kingdom, Sepanyol, Filipina, China dan Ireland menjadi platform penting dalam merintis kerjasama pendidikan bertaraf global.
“Persidangan ini bukan sahaja menyatukan tenaga pendidik, penyelidik dan penggubal dasar dari pelbagai negara, malah turut mendorong pemerkasaan pendidikan berteraskan sains, teknologi dan budaya,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai pemacu kepada pembangunan modal insan Sabah yang berkualiti, berdaya saing dan berinovasi.
Dalam konteks itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM41.75 juta tahun ini kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Sabah Skills and Training Centre (SSTC) dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre untuk pelaksanaan pelbagai program latihan dan pemerkasaan kemahiran.
Antara program utama termasuk Kembara Sains Borneo, Karnival Sains Sabah, Pertandingan Teknologi dan Inovasi, Festival Pendidikan STEM, Program Roboneo dan Sabah Screen Fest yang menjadi medium penting menjana minat pelajar terhadap bidang teknologi dan kejuruteraan.
Hajiji turut menyambut baik pembentangan 13 subtema persidangan termasuk pendidikan digital, pengajian Melayu, pendidikan Islam, bimbingan dan kaunseling, sains sukan, seni visual serta pendidikan awal kanak-kanak.
Beliau yakin perkongsian ilmu dalam persidangan ini akan membawa kepada kerjasama antarabangsa yang mampu meningkatkan profil penyelidik dan institusi pendidikan Sabah ke peringkat global.
“Warga pendidik adalah nadi dan tulang belakang kepada kejayaan transformasi pendidikan. Saya menyeru agar mereka berani meneroka penyelidikan dan inovasi dalam pendidikan.
“Persidangan ini juga menjadi manifestasi iltizam kerajaan negeri menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025 yang mengutamakan pendidikan sebagai pemangkin pembangunan mampan negeri,” katanya.