Dua lelaki didakwa edar dadah hampir 2.5 kg di Lapangan Terbang, berdepan hukuman mati

Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Tawau, atas kesalahan mengedar dadah di Lapangan Terbang Tawau, 17 Mei lalu.
TAWAU : Dua lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Tawau di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat hampir 2.5 kilogram di Lapangan Terbang Tawau, 17 Mei lalu.

Tertuduh Leong Kong Wait, 44, dan Revinson Ester Anak Mawat, 20, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 2,493.45 gram di kawasan Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Tawau antara pukul 9.25 malam hingga 10.15 malam pada 17 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam mengendalikan pendakwaan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan dua lelaki di lapangan terbang berkenaan selepas disyaki cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM87,000.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin dipetik sebagai berkata bahawa tangkapan itu adalah hasil risikan dan maklumat yang membawa kepada penahanan kedua-dua suspek yang dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi menyembunyikan dadah dalam kotak biskut dan paket minuman yang disorok dalam bagasi penumpang bagi mengaburi pihak berkuasa.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama