PRN17: Cadangan 13 kerusi PKR Sabah bukan campur tangan pusat

Guntur Sangkar.

KOTA KINABALU: Cadangan dan hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding sebanyak 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) bukan ditentukan oleh kepimpinan di peringkat pusat secara unilateral.

Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Mohd Guntur Sangkar berkata ia sebaliknya berteraskan semangat kerjasama antara parti lain.

"Senarai itu adalah hasil perbincangan berterusan antara PKR Sabah dan rakan kongsi kami dalam Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Ia dibentuk berdasarkan semangat kerjasama politik yang matang, tanpa mengenepikan peranan parti tempatan.

"PKR Sabah bukan sekadar ‘cabang’ yang mengikut arahan pusat secara membuta tuli. Sejak penubuhannya, PKR Sabah telah dibina melalui kerjasama rapat antara aktivis tempatan dan kepimpinan negara, menjadikannya sebuah parti nasional yang berakar umbi di Sabah.

"Malah, PKR adalah satu-satunya parti kebangsaan yang secara rasmi memaktubkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam perlembagaan partinya, satu komitmen yang jelas terhadap hak dan autonomi Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini sebagai maklum balas berhubung kenyataan Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Anuar Ghani mengenai hasrat PKR untuk bertanding di 13 kerusi dalam PRN17 Sabah.

Dalam pada itu, Mohd Guntur turut mengingatkan STAR untuk melihat rekod parti mereka sendiri sebelum melabel pihak lain (parti politik) sebagai 'orang luar politik'.

"STAR pernah bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN), sebuah gabungan yang secara terbuka melemahkan kedudukan Sabah dalam rundingan MA63 dan gagal menunaikan banyak janji pembangunan.

"Realitinya, PKR Sabah kekal konsisten dalam memperjuangkan reformasi dan keadilan untuk rakyat Sabah.

"Manakala STAR terus mengalihkan pendirian mengikut keselesaan politik. Apa yang Sabah perlukan adalah kestabilan dan prinsip, bukan oportunisme," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencadangkan sekurang-kurangnya 13 kerusi untuk ditandingi dalam PRN17 Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama