![]() |
Polis bantuan dan operator SESB ketika tragedi tanah runtuh Stesen Janakuasa Hidro Tenom pada tahun 2022. |
TENOM: Tragedi runtuhan tanah yang melanda di Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi pada 31 Oktober 2022 masih mendatangkan meninggalkan kesan mendalam kepada petugas Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehingga kini.
Berikutan daripada kejadian itu, kerosakan itu menyebabkan ia tidak dapat beroperasi sekaligus mengakibatkan syarikat utiliti itu kehilangan kapasiti penjanaan tenaga elektrik sebanyak 66 megawatt (MW) sejak lebih dua tahun lalu.
Berkongsi pengalaman ketika tragedi itu melanda, polis bantuan dan ketua syif yang bertugas ketika syif petang pada hari kejadian, Mohd Raffi Yahya, 40, menceritakan beliau masih mengingati ketika itu hujan turun dengan secara berterusan.
Ketika bertugas, beliau dimaklumkan rakan setugasnya bahawa paras air di sungai berdekatan stesen janakuasa hidro itu telah naik secara mendadak dan selang 15 minit kemudian selepas masuk ke bilik kawalan, operator bertugas memberitahu air telah memasuki stesen.
Katanya lagi, sekitar jam tujuh malam, runtuhan tanah telah berlaku bersama batu besar. Susulan itu, beliau mengambil keputusan untuk menghubungi Sabah Load Dispatch Centre (SLDC) bagi meminta kebenaran untuk menutup sepenuhnya pengoperasian termasuk elektrik stesen janakuasa hidro berkenaan bagi mengelakkan litar pintas.
"Tepat jam 7:36 malam, talian perhubungan terputus sepenuhnya dari stesen ke luar dan hanya boleh menghubungi SLDC secara terus bagi memaklumkam staf di luar untuk menyelamatkan kami.
"Air sudah (naik) memenuhi kawasan stesen. Ketua unit kami diluar cuba menyelamatkan operator di luar. Tetapi ia tidak dapat ditembusi disebabkan ada dua runtuhan (tanah) major yang tidak boleh dilalui dengan keadaan hujan lebat dan batu-batu yang jatuh," katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Mohd Raffi berkata kejadian yang pertama kali melanda sepanjang 16 tahun bekerja itu bimbang dengan keselamatan staf syif petang lain seramai enam operator dan empat anggota polis bantuan termasuk beliau.
Katanya, pada jam 8:15 malam, beliau dapat berhubung dengan semua staf dan memastikan semuanya tidak mengalami sebarang kecederaan dan sedang berkumpul di 'intake room'.
Memperincikan lagi situasi ketika itu, Mohd Raffie berkata keadaan paras air dan lumpur semakin tinggi dalam bangunan stesen janakuasa hidro dan adalah berisiko sekiranya mereka duduk menunggu sehingga bantuan penyelamatan tiba.
Susulan itu, beliau berkata mereka sepakat untuk berjalan mengharungi tanah runtuh setinggi 10 kaki sepanjang lima kilometer perjalanan secara perlahan-lahan sehingga mereka berjaya berkumpul bersama dua operator dan dua polis bantuan yang bertugas di luar stesen sementara menunggu bantuan tiba keesokan hari sekitar jam tujuh pagi.
"Sepanjang kami berjalan meredah runtuhan tanah, saya bimbang dimana salah seorang operator yang mempunyai penyakit kencing manis dan kebetulan tidak membawa insulin. Jadi saya minta operator yang paling muda untuk memantau keadaannya," katanya.
Polis bantuan yang bertugas di pondok keselamatan, Ailey Jamal, 59, ketika menceritakan situasi semasa beliau bertugas bersama seorang lagi rakan setugasnya di pondok keselamatan dimana hujan dan kilat tidak berhenti sebelum runtuhan tanah membuatkan mereka terperangkap.
"Lebih kurang jam 7:18 malam, kami terperangkap (dalam pondok keselamatan), batu dan kayu melanggar pondok dan elektrik juga putus ketika itu. Keadaan gelap dan pintu pula tertutup dengan batu-batu besar. Namun sala seorang staf (operator) menyelamatkan kami," katanya.
Pengendali loji merangkap operator, Petrus A Joanis, 55, memberitahu pemberita semasa kejadian itu berlaku, beliau dan bersama rakan setugas mendengar bunyi batu besar yang jatuh di kawasan 'intake'.
Katanya, dengan kadar segera mereka melakukan tugas rutin memulihkan bekalan elektrik sebanyak empat kali sebelum mereka menaikkan 'gate' agar banjir tidak melimpah berterusan ke kawasan stesen janakuasa hidro.
"Selang 20 minit, saya tergerak hati memikirkan rakan setugas lain di pondok. Berbekalkan lampu suluh, saya dan rakan satu syif mengharungi jalan penuh batu dan lumpur di sepanjang perjalanan sejauh 100 meter menuju ke pondok," katanya.
Bercerita lanjut, Petrus berkata apabila sampai di kawasan pondok, beliau melihat kawasan hampir ranap dan situasi itu membuatkan beliau hampir putus asa dan hampa
Walau bagaimanapun, beliau berkata salah seorang rakan satu syif memanggil namanya dan menyedari dua anggota polis bantuan di pondok keselamatan termasuk Ailey masih hidup sebelum membantu mereka keluar menyelamatkan diri.
\