Dua lelaki dicekup terbabit kes pecah rumah, kerugian hampir RM4,500

Dua lelaki dicekup polis selepas disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Barkley, bulan lalu. Foto | Ihsan PDRM.


Tawau: Dua lelaki tempatan diberkas polis selepas disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di Taman Berkeley, Jalan Apas, di sini, bulan lalu yang mengakibatkan kerugian hampir RM4,500.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian disedari mangsa berusia 40-an kira-kira jam 6.30 pagi, pada 12 April lalu apabila mendapati rumahnya diceroboh.

Beliau berkata, antara barangan yang dilaporkan hilang termasuk televisyen, dua raket badminton, jam tangan pintar, telefon bimbit, MyKad milik individu lain serta sejumlah wang tunai.

"Bertindak daripada hasil risikan dan siasatan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau membawa kepada penahanan suspek pertama berusia 36 tahun kira-kira jam 5 petang, 19 Mei lalu.

"Hasil soal siasat membawa kepada penemuan dua raket badminton milik mangsa yang disorokkan dalam sebuah bilik sewa di sekitar bandar ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Jasmin berkata, susulan tangkapan itu seorang lagi lelaki berusia 34 tahun berjaya ditahan di hadapan sebuah bengkel di Jalan Ranggu, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.

Katanya, polis turut dirampas sebuah televisyen dan seutas jam tangan pintar jenama Apple dipercayai sebahagian daripada hasil kegiatan pecah rumah terbabit.

Jasmin berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan barangan curi lain serta kemungkinan pembabitan suspek lain," katanya.

Jasmin berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan usaha membanteras jenayah bagi menjamin keselamatan penduduk di daerah ini.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama