KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan pinjaman pembiayaan berjumlah kira-kira RM11.3 juta.
Kedua-dua suspek yang merupakan bekas pegawai sebuah institusi kewangan itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 29 Mei ini selepas perintah dikeluarkan oleh Majistret 1, Siti Aisyah Umar Baki di Mahkamah Sesyen Sandakan, pada Jumaat.
Penahanan mereka merupakan susulan kepada tangkapan lima individu sebelum ini, termasuk empat bekas pegawai bank, yang disyaki menerima rasuah sebanyak RM300,000 daripada seorang pemilik syarikat.
Menurut sumber, kesemua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan meluluskan pinjaman kewangan menggunakan dokumen sokongan palsu bagi tujuan mendapatkan pembiayaan kewangan daripada institusi kewangan terlibat.
“Kesalahan ini dipercayai dilakukan antara tahun 2022 hingga 2024, melibatkan kelulusan pinjaman berjumlah lebih RM11 juta yang membabitkan 39 permohonan,” katanya.
Tambah sumber itu, kesemua suspek dipercayai menerima wang suapan secara tunai dan juga menerusi transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing.
Terdahulu, lima individu termasuk empat bekas pegawai bank ditahan reman selama tujuh hari sehingga 28 Mei selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan, pada Rabu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.