![]() |
Lelaki disyaki pengedar dadah nekad terjun ke dalam lumpur elak ditahan. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU: Tindakan nekad seorang lelaki disyaki pengedar dadah Cuba meloloskan diri dengan terjun ke dalam lumpur sia-sia apabila dia akhirnya dicekup polis dalam serbuan Op Tapis di Batu 4, Jalan Apas, petang semalam.
Suspek berusia 40 tahun itu sanggup bergelumang lumpur bagi mengelak diberkas, namun tindakan pantas anggota polis yang turut mengejar ke kawasan berkenaan berjaya menahannya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan menemui 80 peket plastik lutsinar berisi hablur jernih dipercayai syabu yang disorok dalam beg silang milik suspek.
“Dadah jenis syabu itu dianggarkan seberat 50.06 gram dan bernilai RM1,750," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jasmin berkata, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
"Usaha mengesan saki baki ahli sindiket sedang giat dijalankan dan oang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Tawau di talian 089-772121 bagi membantu siasatan,” katanya.