Sabah perlu solusi, bukan retorik lama - Nizam tegur Suhaimi

Suhaimi,(kiri). Nizam,(kanan). 



KOTA KINABALU: Kerajaan negeri lebih fokus kepada penyelesaian isu asas rakyat dan tidak lagi terperangkap dalam retorik lama, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mengenai isu kemudahan asas di Sabah, Nizam berkata Suhaimi seharusnya bersikap jujur dan adil dalam memberi komentar, memandangkan beliau sendiri pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan terdahulu.

Katanya, jika beliau (Suhaimi) mempersoalkan ke mana hilangnya hasil balak RM5.3 bilion sejak 1999 hingga 2023, itu sebenarnya satu pengakuan kegagalan kerajaan terdahulu yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional dalam menterjemahkan hasil kepada pembangunan.

“Kerajaan hari ini hanya mengurus hasil balak bagi tempoh 2020 hingga 2023, dengan kutipan berjumlah RM639 juta.

“Jumlah itu, terlalu kecil berbanding keperluan menyelesaikan masalah infrastruktur negeri yang telah lama wujud,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut membangkitkan persoalan berhubung peruntukan RM7.5 bilion dari kerajaan Persekutuan antara 2006 hingga 2015 untuk menyelesaikan isu asas di Sabah.

“Ke mana perginya dana itu? Bukankah kerajaan Persekutuan pada waktu itu juga dipimpin UMNO?” soalnya.

Nizam turut mengingatkan bahawa Suhaimi dan UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan negeri sejak 2020.

“Malah, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah, namun tidak banyak kemajuan dapat ditunjukkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerajaan negeri kini sedang giat melaksanakan pelbagai projek berskala besar bagi menangani isu kemudahan asas.

Katanya, projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas dijangka siap menjelang 2030 dan mampu membekalkan 6,000 juta liter air sehari serta menyumbang 15 peratus tenaga kepada grid Sabah.

“Isu tenaga pula sedang ditangani menerusi penambahan sumber termasuk tenaga solar, bateri simpanan, dan sambungan tenaga dari Sarawak.

“Bagi jalan raya pula, projek Pan Borneo dijangka memberi kesan besar, selain peruntukan RM500 juta oleh kerajaan negeri untuk naik taraf jalan di kawasan utara Sabah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa jalan raya Persekutuan adalah di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan bukan kerajaan negeri.

“Datuk Suhaimi sebagai Ahli Parlimen tentu maklum akan bidang kuasa ini dan lebih wajar beliau membawa suara rakyat kepada Presidennya sendiri yang kini Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Kerajaan Sabah hari ini yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih tersusun dan berupaya menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih berkesan.

“Kritiklah secara berfakta, bukan dengan naratif sensasi yang hanya membangkitkan keresahan rakyat,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama