![]() |
Ahmad Zahid (Pengerusi BN). |
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) terbuka menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik di Sabah, termasuk bukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan terbuka ini adalah sebahagian daripada usaha membentuk gabungan yang lebih kukuh dan inklusif.
Katanya, ia termasuk meneroka kemungkinan kerjasama di bawah konsep ‘BN-Pakatan Harapan (PH) Plus Plus’.
“Kita tidak tertakluk kepada satu atau dua gabungan sahaja kerana mana-mana parti yang berpengkalan di pusat perlu bekerjasama dengan parti tempatan di Sabah.
“Ia bagi memastikan kestabilan dan keharmonian politik antara peringkat kerajaan negeri dan pusat,” katanya
Beliau berkata demikin selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2024 di sini, semalam.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun BN belum memuktamadkan pembentukan gabungan rasmi, perbincangan ke arah itu sedang berjalan termasuk dengan parti-parti di luar GRS.
“Insya-Allah, kita terbuka untuk rundingan dengan mana-mana pihak di Sabah, bukan terhad kepada GRS sahaja,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik negeri dan pusat adalah faktor utama dalam membela nasib rakyat Sabah,
Justeru, katanya semua usaha ke arah kerjasama strategik perlu dilaksanakan secara bijaksana dan menyeluruh.
“Fokus utama kini ialah memastikan wujud persefahaman antara semua pihak bagi menghadapi PRN dengan pendekatan lebih inklusif dan menang-menang.
“Walaupun sibuk dengan urusan kementerian, hal ehwal politik tetap diberikan perhatian khusus menjelang PRN.
“Jika kepimpinan parti melihat gabungan ini baik untuk rakyat, maka ia perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan,” katanya