TAWAU: Tiga individu termasuk dua wanita cedera selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Rawa-Rawa, Batu 4, di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Madzlan Sarman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.01 pagi.
Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian dengan bantuan pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan 1.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat yang terbakar sepenuhnya. Tiga penghuni rumah terbabit turut mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, dua wanita berusia 53 dan 41 tahun melecur di bahagian kaki serta mengalami kecederaan di muka termasuk patah gigi, manakala seorang lelaki berusia 19 tahun cedera di bahagian kaki.
Katanya, semua mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
"Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran benar-benar selamat. Operasi pemadaman ditamatkan pada jam 8.27 pagi.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian yang dialami,” katanya.