![]() |
Nurul Izzah. - Foto BERNAMA |
Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau telah mengemukakan permintaan itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Perdana Menteri, untuk dibincangkan bersama rakan-rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Untuk PRN Sabah, sasaran minimum kita adalah 13 kerusi dan saya telah meminta Presiden untuk berunding mengenainya.
“Justeru, saya menyeru seluruh jentera parti termasuk dari Pulau Pinang, Selangor, Johor dan negeri lain supaya turun membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini.
Mengulas mengenai hala tuju parti, Nurul Izzah menekankan keperluan reformasi dalaman yang menyeluruh dan berprinsip, berteraskan amalan demokrasi serta integriti.
Beliau turut menjadikan pendekatan tegas Parti Komunis China dalam membanteras rasuah sebagai contoh keberanian dalam mengenakan tindakan, termasuk terhadap pemimpin tertinggi parti.
“Pendekatan mereka tegas, termasuk terhadap kepimpinan kanan. Ini menunjukkan kesungguhan memerangi rasuah tanpa kompromi.
“Saya menggesa keperluan menyaring kemasukan bakat baharu dengan teliti bagi memastikan hanya individu berkelayakan dan bebas rekod jenayah menyertai parti.
“Jika ada rekod pecah amanah atau salah laku, kita perlu lebih berhati-hati agar tidak membebankan parti pada masa depan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar PKR mencontohi kaedah penyaringan ketat seperti diamalkan DAP, yang hanya menerima keahlian baharu berdasarkan sokongan dan pengesahan ahli sedia ada.
“Usaha reformasi perlu digerakkan dalam tempoh 24 bulan akan datang berpandukan garis panduan yang jelas, bagi memastikan struktur parti lebih kukuh, telus dan bersedia menghadapi cabaran politik masa depan,” katanya.