TAWAU: Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai menyerang bekas isterinya dalam kejadian di Balung, dekat sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam apabila suspek berusia 37 tahun datang ke rumah mangsa sebelum berlaku pertengkaran.
Katanya, ketika kejadian, mangsa meminta suspek pulang kerana mereka sudah tidak mempunyai hubungan suami isteri.
Namun, katanya, suspek bertindak agresif dengan menendang perut dan menumbuk kepala mangsa sehingga cedera.
Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan Op Cantas Mega dan berjaya menahan suspek untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 326A pula, suspek boleh dihukum penjara dua kali ganda daripada tempoh maksimum di bawah Seksyen 323,” katanya.