TAWAU: Dua Pembantu Pendaftaran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini, selepas didapati bersalah menerima rasuah enam tahun lalu.
Yuliana Saat, 50, dan Azmi Amir Lunji, 48, yang bertugas di JPN Cawangan Semporna disabitkan kesalahan menerima wang tunai RM2,000 daripada seorang wanita sebagai dorongan memproses permohonan kad pengenalan dua anak kembar wanita itu.
Hakim Jason Juga dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan kedua-dua tertuduh gagal menyangkal anggapan statutori mengikut Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
"Mengambil kira fakta kes, kepentingan awam serta rayuan pihak pembelaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 ke atas setiap tertuduh.
"Jika gagal membayar denda, tambahan enam bulan penjara," katanya.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 April 2017 dengan menerima wang daripada seorang wanita dikenali sebagai Sufiah Said bagi memudahkan urusan permohonan kad pengenalan anak kembarnya yang berumur 12 tahun ketika itu.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Rekhraj Singh manakala Yuliana diwakili peguam Datu Baginda Datu Laja dan Azmi oleh Jakariya Ab Jalil.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi, namun kedua-dua tertuduh dikehendaki membayar denda pada hari sama.
Kedua-dua mereka membayar denda berkenaan.