![]() |
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya ketika meninjau Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi - ihsan Sabah Electricity. |
TENOM: Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi dengan kapasiti penjanaan tenaga elektrik sebanyak 66 megawatt (MW) telah kembali beroperasi sepenuhnya selepas hampir dua tahun terjejas teruk akibat bencana banjir dan tanah runtuh yang berlaku pada penghujung bulan Oktober 2022.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata tiga set turbin di stesen janakuasa terbabit telah dipulihkan secara berperingkat sejak Oktober tahun lepas sehingga April tahun ini.
Katanya, pihaknya menjangkakan penjanaan tenaga elektrik sebanyak 66 MW itu mampu menjadikan penyaluran bekalan elektrik khususnya di kawasan pantai barat Sabah.
"Sehubungan itu, bekalan elektrik yang stabil amat kritikal bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi juga kawasan luar bandar. Kerajaan Sabah komited untuk meningkatkan kualiti bekalan elektrik di seluruh negeri dengan mengukuhkan kerjasama strategik bersama kerajaan Persekutuan.
"Inisiatif itu sejajar dengan peranan pengawalan seliaan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) yang digariskan dalam Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), bertujuan memastikan bekalan elektrik lebih stabil dan mampan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pengoperasian Semula dan Sambutan Ulang Tahun ke-40 Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Dalam pada itu, Shahelmey turut berkata kadar jidar simpanan elektrik di Sabah yang kini pada 12.4 peratus juga dijangka ditingkatkan kepada 20 peratus menjelang Julai tahun ini.
Katanya, cabaran bekalan elektrik negeri ini bukan sahaja melibatkan isu kapasiti penjanaan tetapi juga peningkatan permintaan berikutan kepesatan pembangunan ekonomi.
Menurutnya, pelbagai langkah mitigasi interim dan 'fast track' untuk meningkatkan lagi jidar simpanan penjanaan dan menampung permintaan bekalan elektrik telah diluluskan oleh Majlis Tenaga Sabah.
"Beberapa projek penjanaan elektrik yang besar sedang dirancang bagi mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah, sekaligus meningkatkan rezab margin bekalan itu sehingga 30 peratus menjelang 2030.
"Berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), antara projek yang dirancang adalah pembelian tenaga dari Sarawak pada tahun ini.
"Selain itu, projek yang dirancang termasuk pembangunan loji janakuasa baharu berkapasiti 100MW pada 2026 dan 2027, serta pembangunan ladang solar berskala besar berkapasiti 100MW pada tahun depan," katanya.
Sementara itu, dalam satu sidang media, Shahelmey turut ditanya pemberita sekiranya kerajaan negeri telah mengesan punca bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda stesen janakuasa hidro.
Menjawab persoalan terbabit, Shahelmey yang juga merupakan Menteri Kerja Raya Sabah itu menjelaskan pihaknya mengesyaki kemungkinan kegiatan penebangan pokok dan juga gangguan perluasan tanah di kawasan hulu.
"Jadi itu mungkin mengakibatkan kesan hakisan dan juga banjir lumpur yang terjadi. Kita juga akan berbincang dengan Sabah Electricity dan juga Pejabat Daerah untuk melihat (pihak yang bertanggungjawab) untuk menjaga kestabilan cerun di kawasan ini.
"Kita perlu cari butiran (secara terperinci) sama ada ia diluluskan atau mendapat kelulusan daripada jabatan yang berkaitan," katanya.