![]() |
Karunanithy (dua kanan) ketika ditemui media. |
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy a/l Y. Subbiah, berkata bangunan enam tingkat yang dibina berhampiran Kompleks Kastam di Jalan Sepanggar itu dapat menampung lebih 100 kakitangan, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi agensi berkenaan.
“Kami juga telah memohon peruntukan tanah bagi pembinaan pejabat cawangan di beberapa lokasi lain termasuk Sandakan dan Tawau,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Jelas Karunanithy, kunjungan hormat itu turut bertujuan memaklumkan perkembangan semasa operasi SPRM Sabah, termasuk perancangan jangka pendek dan panjang, selain pembangunan infrastruktur pejabat dan cawangan di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan antara kesalahan paling kerap dikesan dalam kalangan penjawat awam ialah tuntutan palsu, penyalahgunaan jawatan untuk memperoleh suapan serta pengemukaan dokumen palsu seperti sijil cuti sakit (MC) palsu.
“Kesalahan ini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM. Kami sentiasa melaksanakan program pencegahan dan kesedaran bagi mendidik sektor awam dan swasta agar tidak terjebak dalam amalan tidak beretika ini,” katanya.
Setakat ini, katanya, tiada tindakan diambil terhadap mana-mana klinik swasta di Sabah berhubung pengeluaran MC palsu, namun pemantauan berterusan tetap dijalankan.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)