Guna MyKad orang, warga asing dicekup


TAWAU: Tindakan licik seorang lelaki warga asing yang menggunakan MyKad milik individu lain terbongkar selepas dia dicekup polis dalam satu pemeriksaan rutin di pusat bandar, semalam.

Suspek yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an ditahan kira-kira jam 3 petang oleh anggota rondaan dari Balai Polis Tawau selepas gerak-geri mencurigakannya menarik perhatian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mengemukakan tiga dokumen iaitu sijil lahir, MyKad dan lesen memandu yang ternyata bukan miliknya.

“Hasil semakan mendapati butiran pada ketiga-tiga dokumen tidak sepadan dengan fizikal suspek. 

"Pemeriksaan lanjut mendapati dokumen itu milik individu lain dan suspek dipercayai bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Jasmin, siasatan lanjut menggunakan sistem iPRS mengesahkan bahawa MyKad terbabit pernah dilaporkan hilang sebelum ini.

“Suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan semua dokumen dirampas. 

"Kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memiliki atau menggunakan kad pengenalan orang lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak leka menjaga dokumen pengenalan diri.

“Kehilangan dokumen penting seperti MyKad perlu segera dilaporkan kepada polis dan dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengelakkan penyalahgunaan identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama