Tegur Pandikar, dia yang mula ancam pecah-belahkan GRS, Jeffrey dan Yong diberitahu


KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sook, Abi Wednes Gagamboi menegaskan agar pemimpin veteran dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegur tindakan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang disifatkan cuba memecah-belahkan gabungan politik itu.

Beliau berkata demikian dengan merujuk khusus kepada Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee.

Menurutnya, beliau berpendapat dua pemimpin veteran itu harus menegur Pandikar sekiranya mementingkan perpaduan dalam GRS.

"Jika benar mereka sayang kepada GRS, tegurlah individu yang mula-mula sekali mengancam untuk memecahbelahkan gabungan ini, bukan menyalahkan pemimpin muda yang hanya mempertahankan apa telah dibina bersama.

"GRS tidak diwujudkan untuk melayan legasi politik lama yang semakin tidak relevan. Ia ditubuhkan dengan satu tujuan jelas, untuk membina masa depan Sabah berlandaskan kepimpinan tempatan dan keperluan semasa. 

"Kami generasi pelapis dalam GRS bukan hanya penumpang. Kami adalah suara akar umbi yang akan bangkit mempertahankan gabungan ini daripada sesiapa sahaja yang cuba menggugatnya, termasuk dari dalam," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga mengambil maklum mengenai Pandikar yang mengulangi kritikan terhadap kepimpinan GRS dan menyatakan kemungkinan USNO akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) menerusi laporan portal tempatan.

"Lebih mengejutkan, kenyataan ini datang daripada individu yang kini memegang beberapa jawatan kanan dalam pentadbiran negeri, bukan daripada kami yang bekerja keras membina kepercayaan rakyat terhadap GRS.

"Pandikar juga berkongsi bagaimana beliau pernah duduk semeja dengan tokoh-tokoh besar negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamad (UMNO), Tun Samy Vellu (MIC), Tun Ling Liong Sik (MCA), Tun Lim Keng Yaik (Gerakan), Tan Sri Leo Moggie (PBDS) dan Tun Abdul Taib Mahmud (PBB).

“Kami hormati pengalaman beliau, tetapi senarai nama itu juga mengingatkan kita tentang era politik yang beliau wakili. Sebahagian besar tokoh tersebut telah bersara atau meninggal dunia. 

"Parti yang terus kekal hari ini adalah parti yang memberi laluan kepada pemimpin muda, yang tidak berubah dan hilang dari arus masa. Inilah perbezaan antara negarawan yang memandang ke hadapan dan ahli politik yang terperangkap dalam nostalgia silam," katanya.

Disamping itu, Abi Wednes turut memaklumkan pihaknya juga mengambil maklum dan tahu keadaan yang sedang terjadi berkait perkara terbabit.

"Kami juga tidak buta. Kami tahu siapa yang sedang berusaha secara senyap, siapa yang sudah berunding di belakang tabir. Mungkin sebab itu Tan Sri Pandikar dipertahankan habis-habisan sebagai pelindung awal sebelum gerakan politik yang lebih besar dilakukan. 

"Jika benar ada rancangan seperti itu, nyatakan sahaja secara terbuka. Jangan berselindung di sebalik retorik perpaduan sambil menyusun strategi sebaliknya.

"GRS bukan milik mana-mana individu. Ia milik semua komponennya. Kami di akar umbi berdiri teguh bersama Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor. 

"Kami tidak akan membiarkan GRS dijadikan alat tawar-menawar politik oleh mereka yang sudah hilang arah. Kami juga tidak akan berdiam diri bila prinsip dan maruah gabungan ini digugat," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama