![]() |
Sebahagian rampasan membabitkan barangan kosmetik dan petrol dalam dua Ops Bersepadu yang dijalankan PGA Kunak, kelmarin. FOTO | Batalion 22 PGA Kunak. |
SEMPORNA : Dua operasi bersepadu yang dijalankan secara berasingan di sekitar daerah ini kelmarin, berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan membabitkan barangan kosmetik dan bahan api, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM177,000.
Pegawai Memerintah Batalion 22 PGA Kunak, Superintenden Norman Chendan Philip Picha Rumpang berkata, menerusi operasi pertama, dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menahan seorang wanita tempatan yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan produk kecantikan.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan empat roda (4WD) milik suspek menemui 11 kotak mengandungi pelbagai produk kecantikan yang tidak bercukai dan tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Suspek mengaku memperoleh barangan terbabit dari negara jiran dan aktif membekalkan produk kosmetik sejak tahun 2024.
"Rampasan dianggarkan bernilai RM125,000 termasuk kenderaan yang digunakan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, dalam operasi berasingan dikenali sebagai Ops Taring Bravo 1, oleh Cawangan Risik/Task Force Batalion 22 PGA Kunak dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Cawangan Siasatan Jenayah IPD Semporna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, menyerbu sebuah premis tidak bernombor di Kampung Mesra, Semporna.
Katanya, pemeriksaan di lokasi menemui sejumlah minyak petrol yang disimpan dalam beberapa gelen serta sebuah bot kayu sarat dengan muatan minyak petrol di bahagian belakang premis tersebut.
"Seorang lelaki warga asing turut ditahan dan mengaku terlibat dalam aktiviti penyeludupan bahan api sejak 2023.
"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM52,000. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri untuk tindakan lanjut," ujarnya.