![]() |
Joachim ketika berucap merasmikan program Kembara Kasih KPWKM. |
TAWAU: Sebanyak 788 kes gangguan seksual direkodkan sepanjang tahun 2024, menunjukkan peningkatan ketara berbanding 522 kes pada 2023 dan 477 kes pada 2022.
Trend membimbangkan ini mendorong kerajaan mengambil pendekatan lebih agresif dan bersepadu dalam menangani jenayah berkenaan yang semakin berleluasa.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan berterusan kes gangguan seksual yang memerlukan perhatian segera.
“Sebanyak 477 kes gangguan seksual direkodkan pada 2022, meningkat kepada 522 kes pada 2023, dan melonjak kepada 788 kes pada 2024.
“Bagi tempoh sehingga Mac 2025 sahaja, sebanyak 214 kes telah dilaporkan, termasuk lima kes di Sabah. Ini jelas menunjukkan isu ini semakin meruncing dan memerlukan langkah drastik serta kesedaran masyarakat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2025 di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau, di sini, pada Sabtu.
Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, menyambut baik inisiatif KPWKM yang menunjukkan keprihatinan terhadap mangsa gangguan seksual, termasuk pengenalan Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) sebagai saluran alternatif kepada mahkamah sivil.
“Gangguan seksual ialah perlakuan tidak bermoral yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, umur, bangsa atau agama.
“Jika tidak ditangani dari peringkat awal, ia berisiko berkembang menjadi jenayah lebih serius seperti rogol dan keganasan terhadap wanita,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keganasan terhadap wanita bukan isu terpencil, sebaliknya ramai mangsa masih enggan bersuara disebabkan stigma masyarakat, tekanan sosial serta kekangan dalam mendapatkan bantuan.
“Justeru, penubuhan TAGS mampu membantu mangsa tampil membuat aduan secara lebih mudah, cepat dan kos rendah,” tambahnya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan Notis Anti Gangguan Seksual kepada jabatan dan agensi berkaitan sebagai simbolik komitmen kerajaan dalam membanteras jenayah berkenaan.
Antara penerima notis ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Haslina Ismail; Majlis Perbandaran Tawau, Rahayu Pohan; Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Kalabakan Tawau, Safiyah Yusuf; dan Pengarah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Kogilavani Subermaniam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM, Farah Adura Hamidi; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Pengerusi Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri, Datuk Hamild Awang; Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Rina Jainal; serta Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit.