![]() |
Bungsu (tengah) ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Negeri Sabah menyeru semua pemilik premis, khususnya agensi dan organisasi kerajaan supaya mengemukakan permohonan rasmi bagi menentukan serta mengesahkan arah kiblat melalui pasukan teknikal bertauliah.
Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap bangunan mempunyai arah kiblat yang tepat demi kemudahan umat Islam menunaikan solat dengan sempurna.
“Usaha menentukan arah kiblat di semua premis kerajaan di Sabah sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini.
“Alhamdulillah, pelaksanaannya telah bermula dan kita sedang berusaha memastikan semua premis kerajaan ditetapkan arah kiblat secara sah dan tepat.
“Namun begitu, proses ini mengambil sedikit masa memandangkan jumlah bangunan kerajaan yang agak banyak,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Beliau turut menjelaskan permohonan bagi penentuan arah kiblat perlu dikemukakan oleh pihak pengurusan premis dan pihaknya bersedia membantu melalui kepakaran pasukan teknikal yang berpengalaman.
“Pasukan kami akan memastikan arah kiblat ditentukan dengan ketepatan yang tinggi,” katanya.
Bungsu turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu bergantung kepada aplikasi mudah alih untuk menentukan arah kiblat kerana ketepatannya boleh terjejas akibat gangguan persekitaran.
“Kebanyakan aplikasi arah kiblat terdedah kepada gangguan, khususnya apabila berada berhampiran logam seperti besi, yang boleh menyebabkan arah kiblat tersasar,” jelasnya.
Kunjungan hormat itu turut bertujuan memperkenalkan barisan ahli Majlis Fatwa yang baharu, selain mempersembahkan fatwa terkini yang sudah digazetkan serta dalam proses pewartaan.
Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah Datuk Ahadin Arinen dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)