![]() |
Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Robert Tawik. |
KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menegaskan pihaknya tetap dengan pendirian untuk terus kekal dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke 17 (PRN17) yang dijadualkan bakal berlangsung tahun ini.
Timbalan Presiden STAR, Datuk Robert Tawik berkata pihaknya tidak akan meninggalkan GRS, walaupun timbul spekulasi bahawa parti terbabit bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) mungkin akan keluar daripada gabungan terbabit untuk bertanding secara solo selepas penubuhan PBStar.
Katanya, GRS ditubuhkan berdasarkan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan perpaduan antara parti-parti tempatan bagi mencapai kestabilan politik di negeri ini.
“Penubuhan rasmi GRS pada 11 Mac 2022 adalah satu langkah besar yang membuktikan kesatuan dan kematangan politik Sabah.
"Ia mencerminkan semangat muafakat serta keikhlasan semua parti terlibat untuk mengetepikan perbezaan demi kepentingan negeri tercinta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata kepimpinan gabungan tersebut berada dalam keadaan terbaik dengan kombinasi tokoh politik berpengalaman seperti Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan dan Pengerusi GRS merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor.
“Gandingan dua tokoh besar ini bukan sahaja berjaya mewujudkan kestabilan politik dalam negeri, tetapi juga menjadikan GRS satu gabungan yang disegani dan dihormati termasuk oleh pihak kerajaan Persekutuan.
"Keupayaan mereka dalam memperjuangkan hak-hak Sabah telah menghasilkan kejayaan besar, termasuk pemulihan semula pelbagai hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Dalam pada itu, Robert berkata susulan pihaknya kini memegang enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pihaknya yakin sokongan STAR kukuh disamping bakal menyumbang kepada kejayaan kepada GRS.
“Kita akan terus bekerja keras memastikan mandat rakyat dikekalkan dan kerajaan GRS terus diberi kepercayaan untuk memerintah.
"Hanya dengan kestabilan kerajaan yang berterusan, lebih banyak pembangunan, peluang ekonomi dan insentif kebajikan dapat disampaikan kepada rakyat Sabah dari semua lapisan masyarakat,” katanya.