Hab PMKS Sabah permudah akses maklumat keusahawanan

Ewon ketika ditemui media.


PENAMPANG :  Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah diwujudkan bagi mempermudahkan golongan usahawan mendapatkan akses kepada pelbagai maklumat dan kemudahan berkaitan keusahawanan serta pembangunan perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, hab berkenaan berperanan sebagai pusat sehenti untuk PMKS memperoleh pengetahuan, panduan serta amalan terbaik dalam bidang keusahawanan.

“Melalui Hab PMKS ini, maklumat terkini berkaitan keusahawanan dan perniagaan boleh diakses secara fizikal dengan lebih mudah. Usahawan juga boleh mendapatkan panduan berkaitan permulaan perniagaan, akses pasaran, pembangunan modal insan, sumber pembiayaan, serta perkembangan industri semasa.

“Malah, khidmat nasihat oleh kaunselor perniagaan dan maklumat program-program keusahawanan kerajaan turut ditawarkan. Hab ini juga menyediakan ruang untuk usahawan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Pejabat Baharu SME Corp. Malaysia dan Hab PMKS Sabah di Donggongon Square, di sini semalam.

Menurut beliau, sebanyak 10,035 PMKS telah mengunjungi Hab PMKS SME Corp. Malaysia secara fizikal sepanjang tahun 2024, manakala sebanyak 2,607 PMKS direkodkan berkunjung dalam tempoh Januari hingga Mac 2025.

Dengan keluasan 4,500 kaki persegi serta lokasi strategik di Donggongon Square, hab berkenaan dilengkapi kaunter maklumat, kiosk berinternet serta dewan bagi penganjuran kursus keusahawanan yang direka khusus bagi memenuhi keperluan komuniti perniagaan dan bakal usahawan di Sabah, khususnya di daerah Penampang.

Dalam majlis sama, Ewon turut melancarkan Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) Plus, iaitu inisiatif khas untuk menyokong perusahaan mikro, terutamanya dalam kalangan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Melalui BEEP Plus, usahawan berpeluang menerima bantuan geran padanan sehingga 70 peratus daripada kos projek, atau maksimum RM250,000. Bantuan ini merangkumi perbelanjaan bagi penambahbaikan pembungkusan produk, perolehan mesin dan peralatan, penerapan teknologi ICT dan e-Dagang, sewaan serta pengubahsuaian premis, termasuk aktiviti promosi dan penjenamaan,” katanya.

Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah penyampaian cek cura berjumlah RM 841,099.97 kepada 15 penerima bantuan BEEP di Sabah, di samping penyampaian Anugerah Peserta Terbaik dan Rancangan Perniagaan Terbaik Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Siri 11 bagi Negeri Sabah.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phong Jie Zeh; Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok; Presiden Majlis Daerah Penampang, Francis Chong dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy.


(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama