![]() |
Limus ketika ditemui media di Dewan Dato' Syahbandar Makang Kuala Penyu. |
Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran mengamalkan kelestarian alam sekitar melalui pendekatan amalan hijau dalam setiap pembangunan di daerah masing-masing.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury berkata PBT juga perlu memberi sokongan terhadap usaha Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) yang merupakan penggerak dan pemangkin dalam merencana panduan dan hala tuju negeri serta menyelaras pembangunan landskap yang lebih teratur dan berkualiti.
"KKTP dalam usaha untuk memperkasa dan melestarikan setiap perancangan termasuklah perancangan landskap ke arah mencapai pembangunan lestari.
"Hal ini kerana PBT merupakan tunjang dan menjadi indikator pelaksanaan program atau projek yang memfokuskan usaha ke arah pembangunan landskap lestari.
"Selaras dengan usaha tersebut, semua PBT disarankan supaya mengamalkan amalan atau tindakan yang menyokong kelestarian alam sekitar dan mengurangkan kesan negatif terhadap bumi melalui pendekatan amalan hijau dalam setiap pembangunan di daerah masing-masing.
"Usaha ini adalah untuk memelihara sumber semula jadi di samping menekankan konsep ekonomi kitaran yang lestari," jelas beliau.
Menurutnya, dalam usaha menangani perubahan iklim, masyarakat perlu bersama-sama melaksanakan usaha kelestarian alam sekitar secara bersepadu dan seimbang.
"Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh semua pihak dalam usaha memastikan kelestarian generasi sekarang dan pada masa hadapan.
"Kita percaya bahawa kunci untuk menyelesaikan krisis iklim adalah terletak pada pengurangan pelepasan gas karbon dioksida dan mentransformasi masyarakat bagi menjaga kelestarian alam sekitar," katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah I-Hijau (Inisiatif Hijau KKTP, Aspirasi Sabah Maju Jaya) 2025 di sini, pada Sabtu.
Limus yang juga ADUN Kuala Penyu turut menggesa seluruh warga daerah terbabit agar menanam nilai-nilai positif dalam memastikan kelestarian daerah berkenaan terpelihara dan terjaga.
"Sikap suka membuang sampah dan sisa dari kereta ke jalan adalah harus dibendung dan diubah sama sekali.
"Budaya bersih dan menjaga keindahan persekitaran daerah adalah selaras dengan hala tuju daerah ini dan transformasi ke arah menjadi pusat pelancongan yang baru di negara ini.
'Kita perlu bersama-sama berganding bahu terutamanya pemimpin-pemimpin dan masyarakat menyokong perlaksanaan Program Kampung Lestari Kuala Penyu yang telah dilancarkan oleh YB Menteri KKTP di pentas terbuka Monsoi Point pada 23hb November 2024 yang lalu.
"Program yang diperkenalkan oleh Majlis Daerah Kuala Penyu merupakan inisiatif terbaik untuk membantu, membawa masyarakat kepada usaha bersama mentadbir sumber daya alam secara holistik dan menjadikan kampung maju dalam pembangunan sosial, ekonomi dan melahirkan komuniti Lestari yang sejahtera harmoni," ujar beliau.
Justeru, Limus menyifatkan pelaksanaan Program Jelajah I-HIJAU 2025 amat bersesuaian sebagai suntikan kepada masyarakat khususnya di Kuala Penyu bagi mencapai masyarakat berdaya huni selari dengan visi KKTP iaitu "Ke Arah Memacu Pembangunan Mampan dan Mencapai Kesejahteraan Masyarakat".
"Program yang julung kali diadakan di daerah ini merupakan anjuran bersama Majlis Daerah Kuala Penyu dan KKTP dan ia adalah platform melibatkan semua masyarakat untuk sama-sama menyediakan tindakan kolektif demi usaha menjaga kelestarian landskap persekitaran kita," tambahnya.
Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Penyu Nelson Domil Oluk, Ketua Penolong Setiausaha (Landskap) KKTP Nurulhayati Awang More, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kuala Penyu John Genchit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Peringkat Daerah dan pegawai-pegawai eksekutif dari PBT seluruh daerah dan wakil, ketua-ketua jabatan dan wakil semua agensi kerajaan serta para pemimpin masyarakat.
Bermula dengan Festival “I-HIJAU KKTP” pada tahun 2023, program jelajah I-HIJAU KKTP seterusnya bakal diadakan di Daerah Tenom.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)