SSB nafi dakwaan tidak berasas, eksport kayu eucalyptus ikut undang-undang


KOTA KINABALU: Sabah Softwoods Berhad (SSB) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas berhubung operasi eksport kayu eucalyptus ke luar negara yang tular di sebuah halaman Facebook baru-baru ini.

Pengerusi SSB, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata pihaknya menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan memanipulasi fakta dan mencetuskan persepsi negatif terhadap syarikat serta kerajaan Sabah secara amnya.

Katanya, semua aktiviti eksport kayu eucalyptus oleh syarikat itu dijalankan secara sah dan mematuhi sepenuhnya undang-undang serta peraturan sedia ada di Malaysia. 

“Operasi itu juga mendapat kelulusan serta pemantauan rapi daripada pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Segala urusan eksport kayu dilakukan mengikut saluran dan tatacara sah di bawah pemantauan agensi yang bertanggungjawab. 

“SSB tidak pernah berkompromi terhadap pematuhan undang-undang dan prinsip pengurusan ladang yang mampan, katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, SSB yang merupakan anak syarikat Yayasan Sabah, memainkan peranan penting dalam pembangunan industri perkayuan di peringkat huluan. 

Katanya, ladang perkayuan SSB telah diiktiraf oleh Majlis Pengawasan Hutan (Forest Stewardship Council – FSC), sebuah badan antarabangsa yang menetapkan piawaian tinggi dalam pengurusan hutan secara bertanggungjawab.

“Pensijilan FSC ini membuktikan bahawa SSB menguruskan ladangnya dengan cekap dan beretika, sekali gus mengelakkan sebarang kegiatan pembalakan haram atau penyahutanan. 

“Ini turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan memberi jaminan kepada pengguna dan pelanggan antarabangsa terhadap sumber kayu yang sah dan Lestari,” katanya.

Selain FSC, Mohd Arsad berkata, operasi eksport kayu SSB juga diperakui melalui Sistem Jaminan Kesahan Kayu Sabah (Sabah Timber Legality Assurance System – TLAS). 

“Sistem ini memastikan semua kayu yang dieksport dapat dijejak menerusi rantaian bekalan sah serta memenuhi piawaian sosial, alam sekitar dan undang-undang antarabangsa.

“TLAS adalah satu bentuk usaha wajar (due diligence) yang penting bagi menjamin bahawa setiap batang kayu yang keluar dari Sabah adalah sah dari segi perundangan dan selamat dari sudut peraturan eksport,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa SSB pernah menerima pengecualian daripada larangan eksport balak tropika yang dikuatkuasakan pada tahun 2018, ketika syarikat itu dipengerusikan oleh mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. 

“Pengecualian ini menjadi bukti peranan signifikan yang dimainkan oleh SSB dalam menyumbang kepada pembangunan industri perkayuan secara berstruktur dan sah.

“Dengan pengalaman lebih lima dekad dalam industri ini, SSB kekal komited terhadap matlamat penubuhannya sebagai peneraju utama industri kayu kayan huluan di Sabah, demi manfaat rakyat Sabah melalui Yayasan Sabah,” katanya 

Terdahulu, SSB ditubuhkan lebih 52 tahun lalu dan telah menjadi antara tonggak penting dalam sektor ekonomi negeri melalui pendekatan mampan dan pematuhan undang-undang dalam setiap operasinya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama