PRN17: BN sahkan tanding 40 kerusi, baki 33 PH


KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) Sabah mengesahkan bakal bertanding sebanyak 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijadualkan akan dilaksanakan pada tahun ini.

Memetik sumber Berita Harian, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, yang mengesahkan perkembangan terbabit berkata baki 33 kerusi diberikan kepada Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, beliau memberitahu ketika ini proses saringan calon sedang berlangsung.

"Kalau BN-PH, kita sudah ada persefahaman dan tak ada pelanggaran agihan kerusi dengan PH. Mereka juga bersetuju dengan kerusi yang kita mahu bertanding.

"Kita tanding 40 kerusi selebihnya (33 kerusi) adalah PH," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Suhaimi turut berkata akan isu berkaitan pertindihan kerusi DUN antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan wujud sekiranya gabungan terbabit mahu menjalin kerjasama dalam PRN17 kelak.

Disamping itu, Suhaimi juga menyatakan isu pertindihan kerusi antara BN dan GRS tidak hanya melibatkan beberapa kerusi DUN tetapi hampir keseluruhan.

"Banyak bertindih kerusi dengan GRS. Bukan lagi banyak bertindih tetapi boleh dikatakan hampir semua bertindih. Contohnya Dalit, (Tanjung) Keramat, Tawau dan Balung, kita bertindih. Terlalu banyak (sebenarnya).

"Isu ini waktu kita tanding (atas tiket) BN, kita menang tapi lompat pergi sana (parti lain). Begitu juga yang ada di GRS sekarang, kebanyakan kerusi yang lompat dari WARISAN (Parti Warisan Sabah)... Lompat pergi sana dan membentuk jadi kerajaan.

"Sampai sekarang rakyat Sabah, mereka tidak berkeyakinan dengan GRS sebab apa? Sebab GRS ini terbentuk semua daripada kerusi yang lompat. Hampir semua (kerusi)," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama