PRN17: Gagasan Rakyat serah pimpinan GRS muktamad calon DUN Lumadan

Mazlan ketika ditemui media.

BEAUFORT: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memuktamadkan calon dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Lumadan, Mazlan Joehari Manan berkata ia termasuklah sekiranya GRS memutuskan sama ada meletakkan calon Gagasan Rakyat atau Parti Bersatu Sabah (PBS) di kerusi berkenaan disamping telah membentuk jawatankuasa khas untuk menghadapi PRN17.

"Dari peringkat Parti Gagasan Rakyat sendiri, kita sudah bersedia dalam jawatankuasa tertentu. Kita sudah meletakkan jawatankuasa untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang ini.

"Sebabnya ialah pengarah pilihan raya itu ditentukan calonnya. Kita menantikan calonnya siapa dan barulah ada senarai akhirnya nanti. Tinggal lagi, senarai dari Parti Gagasan ini kita kerjasamakan.

"Kalau memang bersama dengan PBS, kita serahkan kepada PBS untuk diselaraskan senarai (calon) akhirnya itu untuk jentera pilihan raya yang akan datang," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyempurnaan Persidangan Berkelompok Cawangan Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Lumadan bertempat di The Gem Hotel, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, Naib Presiden PBS, Datuk Ruslan Muharam dan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.

Dalam pada itu, Mazlan turut menjelaskan belum ada sebarang perbincangan rasmi secara lanjut mengenai perkara terbabit.

"Sebab yang pentingnya calon ini dulu.

(Tentukan) Calon dulu baru (perkara) yang lain boleh terbentuk. Sebab yang lain itu mudah. Masing-masing sekarang ini, setiap parti  menyenaraikan jentera masing-masing.

"Setiap parti menyenaraikan jentera masing-masing. Nanti bila sudah diumumkan siapa calonnya itu, dan calon itulah dia dari parti mana, dan yang lain akan diselaraskan oleh partinya. 

"Sekarang ini kami bergerak untuk mengikut parti masing-masing. Belum ada satu lagi gerakan yang melalui atas nama GRS. Sebab kita ingin menginginkan untuk menguatkan GRS itu, jadi (parti) komponen dalam GRS itu kena kuat. 

"Saya yakin juga komponen lain di dalam GRS itu sendiri akan menerima seadanya mana-mana pun keputusan pimpinan parti untuk meletakkan siapa pun calon di Lumadan ini terutamanya," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama