![]() |
Arsad (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek cura dividen bernilai RM70 juta kepada Hajiji (empat dari kanan) ketika sesi kunjungan hormat di Menara Kinabalu -ihsan Sabah Softwoods Berhad. |
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Yayasan Sabah pada tahun ini menerima dividen sebanyak RM70 juta bagi tahun 2024 daripada Sabah Softwoods Berhad (SSB), menyaksikan peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding RM60 juta pada tahun 2023.
Pengerusi SSB, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata peningkatan angka signifikan terbabit mencerminkan komitmen SSB yang konsisten meningkatkan hasil negeri melalui penjanaan pendapatan di bawah anak syarikat Yayasan Sabah itu.
"Pembayaran dividen sebanyak RM70 juta bagi tahun 2024 kepada Yayasan Sabah mencerminkan peningkatan prestasi syarikat berbanding tahun 2023, di mana jumlah dividen yang dibayar adalah sebanyak RM60 juta.
"Peningkatan ini menunjukkan komitmen dan konsistensi SSB dalam menjana keuntungan mampan, sekaligus menyumbang kepada hasil negeri khususnya Yayasan Sabah selaku pemegang saham terbesar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Cek cura penyerahan dividen tersebut yang disampaikan oleh Arsad diterima oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah ketika sesi kunjungan hormat lembaga pengarah SSB di Menara Kinabalu, semalam.
Pada masa sama, Arsad turut menzahirkan penghargaan terhadap Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah atas kelulusan lanjutan pajakan tanah Sapangar.
Katanya, ia dimiliki sebuah anak syarikat Yayasan Sabah selama 30 tahun yang dijangka bakal memastikan kestabilan dan kelangsungan operasi SSB dalam sektor perladangan kayu, kelapa sawit serta pemprosesan di negeri itu, selaras dengan hala tuju kerajaan negeri.
"Kelulusan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah bagi lanjutan pajakan tanah Sapangar, anak syarikat Yayasan Sabah selama 30 tahun merupakan keputusan strategik dan penting.
"Ini bagi memastikan kelangsungan operasi serta kestabilan jangka panjang SSB dalam sektor perladangan kayu, kelapa sawit, dan pemprosesan, selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)," katanya.
Sesi kunjungan hormat SSB di Menara Kinabalu pada Khamis turut dihadiri oleh Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar, Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation, Datuk Jasnih Daya, dan Ketua Pegawai Eksekutif SSB, Datuk Mohd Daud Tampokong.
Sebagai rekod, SSB merupakan salah satu anak syarikat yang bernaung di bawah Yayasan Sabah.